Sesi pasaran Asia hari ini dihiasi oleh data tumpuan dari China yang menunjukkan peningkatan dalam kadar inflasi tahunan pada bulan Jun.
Kadar inflasi tahunan China meningkat kepada 2.7% daripada paras terendah 14 bulan yang dicatatkan pada Mei iaitu 2.4%, dan jauh lebih baik dari jangkaan pasaran untuk meningkat 2.5%.
Sementara secara bulanan pula, harga pengguna (CPI) tanpa dijangka menyusut sebanyak 0.1%, setelah mencatatkan penurunan 0.8% pada bulan sebelumnya.
Indeks harga pengeluar (PPI), yang mengukur kos untuk barang di sektor perkilangan pula malangnya masih merekodkan penurunan iaitu 3.0%, tetapi lebih baik daripada jangkaan dan bacaan terdahulu yang mana masing-masing dengan kemerosotan sebanyak 3.2% dan 3.7%.
Dolar Aussie dan kiwi gagal memanfaatkan peningkataan bacaan kadar inflasi memberangsangkan itu berikutan deflasi harga kilang yang ditunjukkan dalam data PPI juga menandakan pertumbuhan dalam sektor pembuatan masih lemah dengan hanya meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
Kedua-dua matawang itu kekal didagangkan tinggi pada sesi Asia setelah meraih pengukuhan daripada sentimen semasa yang diangkat oleh harapan pelabur untuk pemulihan daripada krisis coronavirus walaupun masih dibayangi oleh keraguan apabila melihat peningkatan berterusan kes baru di beberapa negara.
Malah, pada masa yang sama, perkembangan terbaru dalam pertikaian Australia dengan rakan dagang terbesarnya, China mungkin akan mempengaruhi dagangan dolar Aussie.
Terbaru, kerajaan Australia telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya yang tinggal atau melancong ke Hong Kong untuk mempertimbangkan kembali mengenai keperluan mereka untuk tinggal di sana kerana bimbang akan ditahan atas alasan keselamatan negara yang tidak jelas.