Harga minyak terus menguat pada sesi dagangan Rabu disokong oleh data aktiviti pembuatan dari Amerika Syarikat dan China yang memberangsangkan sekali gus mengangkat keyakinan pasaran terhadap pemulihan daripada pandemik coronavirus.
Pada awal dagangan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 40 sen kepada $45.98 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula menokok 39 seb kepada $43.15 setong.
Aktiviti pembuatan Amerika Syarikat meningkat ke tahap tertinggi satu setengah tahun pada Ogos yang didorong oleh lonjakan dalam pesanan baru. Ini juga merupakan pengembangan terbesar dalam sektor pembuatan sejak November 2018.
Selain itu, aktiviti perkilangan China juga berkembang pada kadar paling pantas pada Ogos, diangkat oleh peningkatan pertama dalam pesanan eksport baru ketika pengeluar meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi peningkatan permintaan.
Di samping itu, laporan bekalan minyak mentah AS yang terus menunjukkan penurunan untuk minggu keenam berturut-turut, juga menyokong pengukuhan harga komoditi hitam itu.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Petroleum Amerika (API), inventori minyak mentah AS jatuh sebanyak 6.36 juta tong pada minggu lalu menyusuli pengurangan pengeluaran oleh pengeluar Amerika disebabkan Taufan Laura.