Logam berharga emas terus melanjutkan penurunannya di sesi Asia susulan peningkatan semula dagangan matawang US dolar ketika pelabur terus menantikan perkembangan terbaru mengenai pakej rangsangan fiskal AS.
Bagaimanapun, logam berharga itu masih mempertahankan kedudukannya di atas paras harga $1,900 setelah menyusut 0.6% kepada $1,910 per auns. Sementara niaga hadapan emas pula menurun pada $1,915 per auns (12.20 tengahhari waktu Malaysia).
Sebelum ini dilaporkan bahawa cadangan Presiden Trump untuk pakej bantuan bernilai $1.8 trilion telah mendapat tentangan daripada partinya yang enggan menambah hutang negara serta Demokrat yang menginginkan rangsangan lebih besar.
Namun begitu, dalam perkembangan terbaru, Republikan di Senat dilaporkan akan mengikut apa yang dimahukan oleh Presiden Donald Trump dalam undang-undang bantuan coronavirus, menurut jurucakap White House.
Perkembangan positif ini bagaimanapun gagal menyokong sentimen yang dilemahkan oleh ketegangan terbaru antara Amerika Syarikat dan China.
Beijing telah menentang sekerasnya tindakan Washington yang meluluskan penjualan senjata kepada Taiwan dan mengancam bahawa ia boleh merosakkan hubungan dua hala.
Walau bagaimanapun dengan ketidakpastian dalam sentimen pasaran membataskan kemerosotan dagangan emas dan menyokongnya untuk bertahan di atas paras harga $1,900 per auns.