Dagangan emas stabil menyusuli kemerosotan US dolar yang diniagakan berhati-hati menjelang ucapan Pengerusi Federal Reserve AS (Fed) Jerome Powell pada Khamis minggu ini.
Memasuki sesi Eropah, spot emas didagangkan berlegar di sekitar paras harga $1,933 per auns, manakala niaga hadapan emas pula pada $1,940 per auns (3.40 petang waktu Malaysia).
Logam berharga itu sebelum ini meraih peningkatan dengan melonjak kepada $1,961 per auns, namun kembali memadamkan keuntungan yang diraihnya pada sesi New York.
Emas telah merosot sekitar 7% daripada paras tertinggi yang dicapai pada 7 Ogos, ditambah dengan peningkatan dalam pemulihan ekonomi AS dan China serta perkembangan positif dalam usaha membangunkan vaksin Covid-19.
Turut mengimbangi dagangan logam berharga itu adalah kebimbangan terhadap lonjakan kes baru Covid-19 di beberapa negara, terutamanya Eropah dan Asia. Menurut Menteri Kewangan New Zealand, sekatan di Auckland boleh mengakibatkan kemerosotan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga NZ$500 juta setiap minggu.
Sementara itu, tumpuan utama pelabur kini terarah kepada ucapan Jerome Powell yang dijadualkan berlangsung di Simposium Jackson Hole mengenai dasar ekonomi AS.
Dalam pada itu, pelabur juga menyambut baik perkembangan positif dalam hubungan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam perjanjian perdagangan AS-China menyebabkan pegangan terhadap matawang berisiko meningkat.