Dagangan Pound Sterling mempamerkan lonjakan harga pada dagangan Selasa walaupun pelabur masih berwaspada risiko rundingan perdagangan antara UK dan EU berhubung isu-isu yang tidak sependapat.
Laporan pekerjaan UK yang diterbitkan semalam dilihat mencatatkan bacaan yang baik namun terdapat penurunan pada purata pendapatan. Ekonomi UK mencatatkan pertambahan 180,000 pekerjaan pada suku terakhir 2019 melepasi jangkaan 145,000.
Walaupun begitu, laporan pekerjaan yang diterbitkan tidak begitu memberi impak ketara terhadap dagangan Pound sehinggalah Menteri Kewangan UK yang baru melaporkan berkenaan polisi fiskal.
Menteri Kewangan yang baru, Rishi Sunak telah memberitahu bahawa bajet tahunan akan diumumkan pada 11 Mac seperti yang dirancang. Pelabur yakin bahawa pelantikan Rishi Sunak menggantikan Sajid Javid akan menyokong agenda rangsangan oleh Perdana Menteri Boris Johnson.
Susulan tersebut, dapat dilihat pergerakan harga pada carta pasangan matawang GBP/USD semalam melonjak hampir 80 pips menuju paras ketinggian harga pada hari sebelumnya.
Namun, harga kembali mencatatkan penurunan semula pada sesi New York melepasi paras sokongan Moving Average 50 (MA50) dan kembali ke paras sekitar 1.30000.
Bersambung pada dagangan sesi Asia hari ini, harga perlahan dan bergerak mendatar di paras 1.30000 yang dilihat sebagai zon RBS (resistance become support) dan kekal berada di bawah halangan MA50.
Jika harga turun lebih rendah, harga dilihat akan menuju zon RBS pada sekitar 1.29500 ke paras lonjakan harga ketika peletakan jawatan Sajid Javid tempoh hari.
Penurunan lebih rendah berkemungkinan akan menuju zon support yang diuji awal minggu lalu mencecah ke paras 1.28700.
Namun jika sentimen pasaran kembali menyokong dagangan Pound, harga berkemungkinan akan melonjak semula menguji paras ketinggian semalam.
Zon resistance harga pada sekitar 1.30600 juga akan diuji sekiranya harga kekal meneruskan kenaikan lebih lanjut.
Pelabur turut berwaspada menantikan laporan minit mesyuarat FOMC awal pagi nanti yang akan memacu pergerakan US dolar dan turut mempengaruhi dagangan GBP/USD.
Lihat gambar carta pasangan matawang GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.