Jangan mencuri jika tidak mahu menerima nasib yang sama seperti GEEP Canada, disaman Apple gara-gara mencuri dan menjual semula produk mereka.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 103,845 produk Apple merangkumi iPhone, iPad dan Apple Watch telah dicuri dan dijual semula oleh firma tersebut.
GEEP Canada merupakan firma kitar semula, termasuk bertanggungjawab dalam urusan melibatkan refurbish dan jual semula gajet. Mereka pernah bekerjasama mengitar semula barangan Apple sebelum menjadi sebahagian milik Quantum Lifecycle Partners.
Berdasarkan laporan, Apple telah menghantar lebih daripada 500,000 iPhones, iPad dan Apple Watch kepada firma tersebut sekitar Januari 2015 hingga Disember 2017 untuk dikitar semula.
Ketika audit dijalankan oleh Apple, pihak mereka mendapati sebanyak 18% daripada gajet tersebut masih aktif mengakses internet menerusi jaringan selular.
Walau bagaimanapun, jumlah tersebut tidak termasuk produk yang tiada radio selular. Berkemungkinan lebih daripada peratusan tersebut telah dijual semula.
Dakwaan tersebut disangkal GEEP, menuduh tindakan tersebut bukan tanggungjawab firma tetapi tiga pegawai mereka. Apple tetap menfailkan saman sekitar CA$ 31 juta tanpa mempedulikan alasan GEEP.
Walaupun secara am-nya produk yang ditolak boleh dijual semula, Apple berpendapat produk tersebut telah gagal memenuhi kriteria keselamatan terutama pada bahagian eletrik atau bateri.