Logam kuning menyusut setelah terdapat tanda-tanda yang menunjukkan pemulihan dalam ekonomi Amerika Syarikat yang telah memaksa pelabur untuk melepaskan pegangan mereka terhadap emas.
Kenaikan semula dolar greenback turut menekan dagangan emas, tetapi ketidakpastian yang membelenggu rundingan mengenai pakej rangsangan AS sedikit sebanyak membataskan penurunan emas yang lebih rendah.
Emas yang pada mulanya didagangkan mendatar sepanjang sesi Asia, mula mempamerkan penyusutan di sekitar paras harga $1,945 per auns. Sementara niaga hadapan emas pula susut pada $1,952 per auns.
Dagangan logam berharga itu telah mengalami kemerosotan sebanyak 4% setakat minggu ini, sekali gus menjadikannya sebagai penurunan peratusan mingguan terbesar sejak awal Mac.
Lonjakan semula hasil perbendaharaan AS 10 tahun telah mendorong peningkatan bagi matawang USD yang turut disokong oleh data tuntutan pengangguran yang akhirnya menunjukkan penurunan di bawah 1 juta pada minggu lepas, menunjukkan sektor pekerjaan Amerika beransur pulih.
Bagaimanapun, kebuntuan antara Demokrat dan Republikan terhadap rundingan mengenai pakej rangsangan tambahan AS telah menyokong dagangan logam berharga daripada jatuh lebih rendah.