Menurut sebuah laporan, Apple Inc telah berhadapan dengan tuntutan undang-undang di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) yang menuntut sekitar 180 juta euro berikutan dengan penyataan yang mengelirukan mengenai jangka hayat bateri iPhone lama.
Oleh itu, sekumpulan 5 organisasi pengguna Eropah telah mengemukakan tuntutan tersebut di Belgium dan Sepanyol dan merancang untuk membuat tindakan yang sama di Itali dan Portugal dalam beberapa minggu akan datang. Ianya didakwa melibatkan pengguna pelbagai peranti iPhone 6.
Di samping itu, kes yang sama turut terjadi di AS. Apple didakwa telah mengelirukan pengguna mengenai kuasa bateri iPhone dan kemas kini perisian yang melambatkan prestasi peranti. Oleh yang demikian, syarikat yang berpangkalan di California bulan lalu telah bersetuju untuk membayar sebanyak $ 113 juta dolar untuk menyelesaikan kes tersebut dengan beberapa pengawal selia AS sementara pelanggan meminta persetujuan dari mahkamah AS untuk mengenakan saman $ 500 juta terhadap syarikat itu.
Berdasarkan sebuah kenyataan, pengguna dikhabarkan semakin kecewa dengan produk yang terlalu laris itu, contohnya model iPhone 6 bahkan ianya melibatkan kerugian kewangan.
Sementara itu, kumpulan tersebut juga menggesa Apple untuk menghentikan tindakan yang memaksa pengguna untuk memasang kemas kini yang melambatkan telefon mereka sehingga memerlukan model baru.
Namun begitu, Apple mengatakan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa tindakan secara sengaja untuk memendekkan jangka hayat produk Apple atau mengabaikan maklum balas dari pengguna untuk mendorong peningkatan pelanggan.