Pemimpin Majoriti Senat Amerika Syarikat, Mitch McConnell hari ini telah menggesa supaya Senat ditangguhkan sehingga 9 November, iaitu seminggu selepas pilihan raya presiden diadakan.
Langkah itu akan menghentikan Senat daripada melakukan keputusan perundangan, termasuk mencapai kesepakatan mengenai rangsangan coronavirus tambahan yang diharapkan dapat dicapai sebelum pemilihan presiden.
Gesaan itu dibuat menyusuli keputusan Senat yang mengesahkan Amy Coney Barrett sebagai hakim Mahkamah Agung yang baru.
Umum mengetahui bahawa sebelum ini Republikan Senat sememangnya menentang dengan tegas pakej rangsangan yang lebih besar seperti diinginkan oleh Demokrat dan Presiden Donald Trump.
Setelah berminggu-minggu berunding untuk mencapai kesepakatan, White House dan Demokrat dilihat masih berjauhan dalam beberapa isu penting, terutamanya dalam isu berapa banyak bantuan diperlukan dan bagaimana ia akan diagihkan.
Walaupun kesepakatan dapat dicapai oleh kedua-dua pihak, namun dengan tindakan terbaru McConnell ini jelas tidak akan ada pakej rangsangan ekonomi yang akan dilancarkan sebelum pilihan raya.