Logam kuning terus didagangkan lebih rendah ketika matawang US dolar meraih pengukuhan berterusan walaupun dengan data pekerjaan ADP yang tersasar jauh daripada jangkaan pasaran.
Di sesi Asia, spot emas didagangkan susut dengan berlegar di sekitar paras harga $1,945 per auns, sementara niaga hadapan emas pula stabil pada $1,951 per auns (11.37 pagi waktu Malaysia).
Emas sebelum ini menjunam lebih rendah pada sesi New York sehingga mencecah paras harga $1,932 per auns.
Pekerjaan dalam sektor swasta tanpa dijangka hanya merekodkan sedikit kenaikan pada Ogos, berbanding unjuran pasaran untuk peningkatan melebihi 1 juta pekerjaan. Bagaimanapun, dengan peningkatan yang ditunjukkan, ia membuktikan bahawa terdapat pemulihan dalam pasaran buruh Amerika Syarikat.
Namun begitu, masih terdapat kebimbangan terhadap ekonomi Amerika Syarikat, lebih-lebih lagi selepas Federal Reserve AS (Fed) menyatakan pertumbuhan ekonomi pada umumnya adalah perlahan berikutan wabak Covid-19 yang masih menular sehingga menyebabkan usaha pembangunan semula ekonomi terbantut.
Setakat ini, hampir 26 juta orang telah disahkan dijangkiti wabak coronavirus, sementara angka kematian pula direkodkan kira-kira 861,679 di seluruh dunia dengan Amerika Syarikat mendahului di tempat pertama, menurut data yang dikeluarkan Johns Hopkins University.
Pemain pasaran kini menantikan penerbitan data tuntutan pengangguran pada hari ini dan laporan pekerjaan NFP pada Jumaat untuk menentukan hala tuju harga seterusnya.