Dagangan komoditi hitam meningkat ke paras ketinggian tiga bulan pada Rabu, diangkat oleh keyakinan bahawa pengeluar utama akan melanjutkan tempoh pelaksanaan pemotongan pengeluaran ketika dunia mula memaparkan pemulihan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent menokok 1.3% kepada $40.10 setong, iaitu bacaan tertinggi pernah direkodkan sejak 6 Mac, meneruskan peningkatan 3.3% yang dicatatkan pada dagangan hari Selasa.
Sementara niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula meningkat 2% kepada $37.55 setong, juga tertinggi sejak Mac setelah mencatat peningkatan sebanyak 3.9% pada sesi sebelumnya.
kedua-dua penanda aras telah meningkat dengan ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini dari paras terendah April, disokong oleh pemulihan berterusan di China dan pembukaan semula ekonomi di beberapa negara utama.
Selain itu, kenaikan harga minyak mentah turut disokong oleh jangkaan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, termasuk Rusia yang akan melanjutkan pemotongan pengeluaran sebanyak 9.7 juta tong sehari sehingga Julai atau Ogos.
Mesyuarat yang melibatkan OPEC+ dijangka akan diadakan secara atas talian pada hari Khamis.
Susulan keputusan OPEC+ pada April lalu, pemotongan pengeluaran sebanyak 9.7 juta tong sehari diputuskan hanya untuk dilaksanakan pada bulan Mei dan Jun sahaja, dan secara beransur-ansur akan dikurangkan kepada 7.7 juta tong sehari dari bulan Julai sehingga Disember.
Walau bagaimanapun, Arab Saudi telah menggesa supaya pemotongan sebanyak 9.7 juta tong sehari tersebut dilanjutkan lebih lama.
Sementara itu, pentadbiran Trump juga meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap negara pengeluar, OPEC+ supaya tidak memungkiri janji untuk meneruskan pengurangan pengeluaran dan menyokong pemulihan ekonomi dengan tidak mengubah pendirian mereka.