Dagangan emas hitam memperluaskan pengukuhan menuju ke paras ketinggian 8 bulan ketika kejatuhan ketara dalam bekalan minyak mentah AS memperpanjangkan kenaikan harga yang sebelum ini disokong oleh harapan pasaran terhadap pemulihan permintaan global.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 35 sen kepada $48.88 setong, sementara WTI Amerika Syarikat menokok 24 sen kepada $45.95 setong pada sesi Asia.
Kedua-dua penanda aras telah mencatatkan peningkatan sekirat 9% pada minggu ini setelah didorong oleh perkembangam positif dalam usaha pembangunan vaksin Covid-19 sekali gus mengangkat harapan pasaran untuk melihat pemulihan permintaan bahan bakar dunia.
Harga komoditi itu terus meraih pengukuhan setelah Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) melaporkan penurunan mendadak inventori minyak mentah sebanyak 0.754 juta tong pada minggu lalu, selepas mencatatkan kenaikan 0.768 juta tong pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, stok minyak mentah di Cushing, Oklahoma yang menjadi pemacu untuk niaga hadapan WTI Amerika Syarikat, jatuh sebanyak 1.7 juta tong kepada kira-kira 60 juta tong pada minggu lalu, iaitu terendah sejak awal Oktober.
Selain itu, harga turut disokong oleh jangkaan penangguhan oleh OPEC+ dalam rancangan mereka untuk melonggarkan komitmen pemotongan pengeluaran minyak mentah pada tahun depan.