AmBank Group Research memberi amaran pemulihan ekonomi pada suku ketiga tahun ini (3Q2020) boleh kehilangan momentum.
Menurut Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan AmBank, Dr. Anthony Dass dalam notanya hari ini, pihaknya menjangkakan situasi terbabit selepas Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) kekal menguncup untuk bulan keempat berturut-turut.
Ujar beliau, indeks tersebut menyusut kepada 48.5 berbanding 49 pada September.
Beliau menjelaskan keyakinan pengeluar semakin lemah selepas meningkatnya jumlah kes Covid-19 dan sekatan baharu yang dilaksanakan bagi membendung penularannya.
Berikutan itu, output dan tempahan baharu semakin perlahan pada bulan lalu berbanding September.
Tambah Dass lagi, permintaan yang tidak menentu menyebabkan stok pembelian dan barangan akhir menurun pada bulan lalu.
“Tambahan pula, pengeluar mengalami kelewatan rantaian bekalan ekoran sekatan di dalam dan luar negara akibat Covid-19.
“Situasi ini menyebabkan kenaikan harga input dan kekurangan kapasiti pembuatan akan menyebabkan peluang pekerjaan semakin berkurang,” kata Dass.
Menurut Dass, pihaknya sekali lagi meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini adalah pada paras -3.6% hingga -5.6%