Data tumpuan pada sesi Asia menyaksikan penerbitan data pekerjaan New Zealand yang memaparkan bacaan melebihi jangkaan pasaran, sekali gus menyokong pengukuhan dolar kiwi.
Tanpa dijangka, angka pengangguran New Zealand menurun pada suku kedua tahun ini dengan jatuh kepada 4.0% daripada 4.2% yang dicatatkan sebelum ini. Malah, ia juga lebih baik daripada jangkaan untuk melonjak sebanyak 5.6%.
Susulan daripada itu, dolar kiwi memanfaatkan peluang untuk menguat di sekitar paras harga $0.6648 berbanding USD, susut sedikit dari paras ketinggian 7 bulan yang dicapainya pada $0.6716.
Menteri Kewangan New Zealand, Grant Robertson mengatakan angka-angka itu adalah bukti kepada kekuatan ekonomi negara dan hasil daripada langkah efektif kerajaan New Zealand dalam membendung penularan Covid-19.
Malah, bacaan ini juga jauh lebih baik apabila dibandingkan dengan kadar pengangguran di Australia yang direkodkan melonjak 7.4% dan Amerika Syarikat sebanyak 11.1%. Perbendaharaan sebelum ini meramalkan kadar pengangguran New Zealand akan mencecah 8.3% pada bulan Jun.
Namun begitu, pada masa yang sama Robertson juga mengakui bahawa pembacaan ini tidak menunjukkan hasil secara keseluruhannya.
Hal ini kerana, perincian yang lebih mendalam memperlihatkan terdapat penurunan dalam penyertaan tenaga buruh berikutan ada segelintir daripada mereka yang berhenti mencari pekerjaan.