Ketegangan perjanjian Brexit antara UK dan Kesatuan Eropah (EU) saban hari semakin meningkat sehingga hari ini dalam usaha untuk mencapai persetujuan sebelum 31 Disember. Situasi bertambah buruk dengan badan perundangan EU menegaskan bahawa pihak mereka tidak mempunyai masa untuk meneliti dan meluluskan perjanjian dalam masa yang terhad ini.
Pihak perunding EU dan Britain masih menemui jalan buntu mengenai isu hak penangkapan ikan dan perkara ini perlu diselesaikan sebelum tahun baru. Jika tidak ada persetujuan antara kedua-dua belah pihak, maka tarif perdagangan akan dikenakan pada EU dan UK.
Ratusan ribu pekerjaan berada dalam taruhan jika tiada persetujuan antara EU dan UK. Britain masih menegaskan kedaulatannya ke atas perairan di Ireland, sementara EU menolak untuk membuka pasaran tunggal yang menguntungkan ke UK melainkan UK komited untuk mematuhi peraturan EU.
United Kingdom dan Kesatuan Eropah masih meneruskan percubaan terakhir untuk mencapai persetujuan perjanjian pada hari Isnin dengan hak memancing EU di perairan Britain menjadi cabaran paling ketara yang masih belum selesai.
Kedua-duanya dilaporkan sedang menyusun langkah seterusnya setelah gagal mencapai keputusan pada tarikh akhir iaitu Ahad semalam. Matawang GBP merosot dengan banyak iaitu sebanyak 1.70% berbanding US dolar kepada paras tukaran 1.3285.