Sesi dagangan hujung minggu memperlihatkan US dolar kembali mencatatkan penyusutan berbanding matawang utama setelah meraih pengukuhan susulan penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada Khamis.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama diniagakan susut 0.10% pada 92.66 dilemahkan oleh kenaikan dalam data tuntutan pengangguran dan penurunan hasil perbendaharaan AS yang mengurangkan tarikan terhadap US dolar.
Tuntutan pengangguran AS meningkat semula sebanyak 1.106 juta pada minggu lepas daripada 971,000 yang dicatatkan sebelum ini dan tersasar dari jangkaan sebanyak 930,000.
Bacaan ini nyata menguatkan lagi kenyataan Federal Reserve yang sebelum ini mengingatkan bahawa pemulihan pengambilan pekerjaan mulai perlahan, seterusnya menimbulkan keraguan terhadap pemulihan ekonomi terbesar dunia itu.
Matawang euro, antara yang meraih manfaat daripada penurunan US dolar, akan menjadi tumpuan utama pada hari ini dengan penerbitan data pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah.
Sementara dagangan pound sterling pula kembali meraih pengukuhan setelah dilemahkan oleh kekuatan USD dan harapan yang memudar dalam rundingan perdagangan Brexit UK dan Kesatuan Eropah (EU). Pengeluaran data jualan runcit, pembuatan dan perkhidmatan UK juga turut menjadi tumpuan pasaran hari ini.
Bagi matawang Asia, dolar Aussie juga kembali meningkat setelah terdapat laporan mengenai rancangan Amerika Syarikat dan China untuk memulakan semula rundingan dagang yang tertangguh. Dolar kiwi pula didagangkan mendatar setelah mencatatkan sedikit kenaikan pada sesi sebelum ini.
Selain itu, dolar Kanada menguat berbanding US dolar setelah Kanada melanjutkan program sokongan pendapatan Covid-19 sehingga akhir September yang akan menawarkan manfaat pengangguran kepada kira-kira 400,000 orang yang biasanya tidak layak.