Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi memperingatkan Amerika Syarikat dan China pada hari Selasa untuk tidak melibatkan negaranya dalam kemelut antara 2 buah negara berkenaan. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Indonesia tidak mahu terlibat dalam persaingan antara kedua-dua buah negara itu.
Retno, yang merupakan ketua utusan diplomatik untuk negara terbesar di Asia Tenggara, mengemukakan kenyataan tersebut menjelang beberapa siri pertemuan penting beberapa orang menteri luar negeri pada minggu ini, yang juga merangkumi rakan sejawat mereka iaitu AS dan China.
Hal ini demikian kerana kebimbangan mula tercetus akibat daripada latihan ketenteraan China di Laut China Selatan yang semakin giat dijalankan pada tahun ini seiring dengan tindakan provokasi yang datang dari kedua-dua buah negara iaitu Amerika Syarikat dan China. Di samping itu, kebanyakan negara Asia mula bimbang akan risiko konflik bersenjata yang didakwa semakin meningkat.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dan menteri luar China Wang Yi telah meningkatkan diplomasi mereka di rantau ini sebagai salah satu usaha untuk meyakinkan para anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk lebih bersimpati dengan kedudukan mereka.
Meskipun begitu, ASEAN akan tetap mengambil tindakan terkecuali dan bersatu. Menurut Retno, kesemua negara anggota bersedia untuk menjalinkan kerjasama serta tidak mahu melibatkan diri dengan perbalahan antara AS dan China.
Untuk pengetahuan semua, China telah mendakwa bahawa sebahagian besar Laut China Selatan sebagai wilayah berdaulat. Manakala Amerika Syarikat pada tahun ini telah meningkatkan operasi “kebebasan navigasi” di perairan yang dituntut oleh China, termasuk membawa 2 buah kapal induk ke wilayah itu untuk pertama kalinya sejak 2014 termasuk menempatkan kapal selam dan pesawat pengintip.