Jumlah pengangguran di Amerika Syarikat saban minggu semakin membimbangkan. Pada minggu lalu, tuntutan pengangguran mencatat bacaan pada tahap terendah sejak ekonomi meleset berikutan penerapan langkah perintah berkurung untuk menghadkan penularan wabak Covid-19 namun angka yang dicatat masih berjumlah jutaan.
Permohonan tuntutan pengangguran pada minggu lalu telah mencecah sehingga 3.17 juta dan hal ini menjadikan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 33.5 juta sejak 7 minggu terakhir berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh pada hari Khamis.
Bacaan yang dicatat pada minggu lalu adalah lebih tinggi daripada jangkaan ahli ekonomi yang menjangkakan jumlah tuntutan sebanyak 3.05 juta sahaja. Walaubagaimanapun, jumlah tuntutan yang dicatat pada minggu lalu adalah jumlah terendah sejak minggu yang berakhir pada 14 Mac.
Pakar ekonomi seperti Ian Shepherdson, yang merupakan ketua ekonomi di Pantheon Macroeconomics berpendapat, kita akan menyaksikan permulaan pemulihan terutama dalam pasaran buruh pada bulan Jun, dimana ekonomi akan dibuka semula.
Pada ketika ini keadaan masih kurang baik kerana bilangan mereka yang dipanggil untuk bekerja semula masih mengecewakan.
Laporan tuntutan pengangguran ini dikeluarkan sehari sebelum laporan NFp oleh Jabatan Buruh. Pakar Ekonomi Dow Jones menjangkakan 21.5 juta akan kehilangan pekerjaan, suatu angka yang paling buruk pernah dicatat. Kadar pengangguran pula dijangka akan melonjak sehingga 16%.