Sesi pasaran Eropah menyaksikan dagangan matawang pound kembali melonjak berbanding US dolar selepas kadar inflasi UK yang baru diterbitkan sebentar tadi merekodkan bacaan tertinggi dalam tempoh enam bulan.
Laporan daripada Jabatan Statistik Negara (ONS) menunjukkan indeks inflasi tahunan UK meningkat sebanyak 1.8% pada bulan Januari daripada 1.3% yang dicatatkan sebelumnya, dan melebihi jangkaan pasaran untuk kenaikan sebanyak 1.6%.
Menurut ONS, antara pendorong utama yang memacu peningkatan yang memberangsangkan ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga perumahan dan utiliti, pengangkutan, serta pemulihan dalam kos pakaian dan kasut.
Sementara itu, bacaan inflasi teras (tidak termasuk makanan dan barangan tenaga) pula mencatat pertumbuhan sebanyak 1.6% secara tahunan pada Januari berbanding 1.4%, malah lebih baik daripada jangkaan untuk meningkat 1.5%.
Dalam perkembangan matawang lain, US dolar terus diniagakan mengukuh berbanding yen Jepun, menghampiri paras ketinggian terbaru sejak Mei 2019 ketika memasuki sesi Eropah.
Selain penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC awal pagi nanti, pasaran juga bakal menyaksikan pengeluaran data inflasi Kanada pada malam ini yang dijangkakan mencatat bacaan memberangsangkan.
Sementara bagi dagangan matawang Asia pula, laporan pekerjaan Australia pada pagi esok akan menjadi tumpuan utama pasaran.
Dolar Aussie diniagakan meningkat berbanding US dolar, di tengah-tengah kebimbangan pasaran yang semakin mereda ekoran jumlah kes jangkitan yang disahkan mula mencatat penurunan.
Bagaimanapun, pasaran tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa mengenai virus maut itu, menyebabkan permintaan terhadap aset emas juga melonjak ke paras ketinggian hampir 7 tahun.