Tahukah anda bahawa penyanyi pop dan penulis lagu terkemuka Amerika Syarikat, Katy Perry pernah belajar tentang matawang kripto?
Pada November 2017, penyanyi berkenaan memuat naik sekeping gambar beliau sedang duduk bersebelahan dengan pelabur terkemuka dunia, Warren Buffett di laman twitter dan instagramnya.
Caption yang ditulis ‘not big deal, asking Warren Buffett his toughts on cryptocurrency’ itu mendapat perhatian ramai terutamanya komuniti Bitcoin dan peminat matawang kripto.
Dengan jumlah pengikut seramai 110 juta orang di twitter manakala lebih 68 juta orang di instagram, status Katy Perry sebagai selebriti terkenal dunia dilihat mampu memberikan kesedaran dalam kalangan peminatnya yang belum pernah didedahkan tentang Bitcoin dan matawang kripto yang lain.
Selain itu, popularitinya juga mampu mempengaruhi dan memberikan impak yang lebih berkesan berbanding kempen kesedaran yang lain.
Berdasarkan status yang dimuat naik tersebut, terdapat ramai peminat Bitcoin yang memberi galakan kepada penyanyi itu untuk mempelajari tentang matawang kripto dengan lebih mendalam daripada sumber-sumber lain serta mengucapkan tahniah kepada beliau kerana minatnya terhadap matawang itu.
Di samping itu, terdapat juga beberapa akaun pertukaran matawang kripto dan portal menawarkan diri untuk membantu Katy Perry dalam pembelajaran matawang kriptonya.
Meskipun pelabur terkemuka dunia, Warren Buffett telah menyatakan pandangannya tentang matawang kripto dan memberi amaran kepada para pelabur yang melabur dalam Bitcoin pada suatu ketika dahulu, akan tetapi para selebriti dan personaliti terkenal seluruh dunia mula menunjukkan minat mereka terhadap matawang kripto apabila Bitcoin menjadi fenomena dan mempelopori pasaran serta dikelaskan sebagai aset terbaik pada tahun 2017.
Tambahan daripada itu, medium pertukaran mula bersaing untuk menempatkan diri mereka di indeks bitcoin dan ianya dapat dibuktikan dengan pelancaran dagangan niaga hadapan Bitcoin oleh Chicago Board Options Exchange (CBOE) dan Chicago Mercantile Exchange (CME) menjelang akhir tahun yang sama.