Bank of England (BoE) dilaporkan telah bersetuju untuk membiayai perbelanjaan kerajaan buat sementara waktu bagi mengurangkan tekanan kepada Perbendaharaan UK dalam usaha mendapatkan sumber kewangan untuk menyokong ekonomi yang terkesan akibat impak coronavirus.
Perbendaharaan UK mempunyai kemudahan overdraf yang lama di bank pusat iaitu melalui ‘Ways and Means facility’ dan mereka telah bersetuju untuk melanjutkan penggunaannya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan bersama.
Ia kini telah meminjam sebanyak £400 juta dan penggunaannya sebelum ini pernah meningkat kepada £19.9 bilion semasa krisis kewangan tahun 2008.
Kemudahan ini bersifat sementara dan jangka pendek dengan menyediakan sumber mudah tunai tambahan jangka pendek kepada Perbendaharaan UK jika perlu untuk melancarkan aliran tunai dan menyokong fungsi pasaran yang teratur.
Perbendaharaan UK memerlukan dana tambahan untuk menyokong aliran tunai dan memastikan pasaran kewangan berjalan dengan lancar memandangkan tempoh kawalan pergerakan di negara itu dijangka akan dilanjutkan pada minggu depan.
Selain itu, melalui kenyataan bersama tersebut, kerajaan dan BoE berkata apa-apa pinjaman daripada kemudahan tersebut akan dibayar balik pada akhir tahun ini.
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus menggunakan pasaran sebagai sumber utama pembiayaan dan tindak balasnya terhadap COVID-19 akan dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman tambahan melalui operasi pengurusan hutang biasa.