Harga minyak mentah terus memanjangkan penyusutan pada dagangan hari Jumaat setelah jatuh dengan ketara pada sesi sebelumnya didorong oleh kebimbangan terhadap permintaan yang mungkin terjejas disebabkan peningkatan berterusan kes Covid-19 di beberapa negara.
Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan menyusut di sekitar paras harga $42.11 setong, selepas jatuh lebih 2% pada Khamis. Dagangan WTI Amerika Syarikat pula turun kepada $39.32, menyusuli penurunan 3% daripada sesi sebelumnya.
Ketika ramai penganalisis menjangkakan ekonomi dan permintaan global akan pulih daripada pandemik, peningkatan harian terbaru jangkitan Covid-19 yang direkodkan di Amerika Syarikat, iaitu selaku pengguna terbesar minyak dunia telah meningkatkan kekhuatiran terhadap pemulihan yang mungkin terjejas.
Amerika Syarikat melaporkan kira-kira 56,000 kes baru pada Khamis, kenaikan hari ketiga berturut-turut yang melebihi angka 55,000. Pada Rabu, lebih 60,000 kes telah dilaporkan di AS, menjadikannya peningkatan terbesar harian yang pernah direkodkan oleh mana-mana negara sejak wabak itu bermula.
Pakar kesihatan AS, Dr Anthony Fauci menasihatkan kepada beberapa negeri yang masih mencatatkan peningkatan yang tinggi untuk mempertimbangkan penutupan semula bagi membendung penularan.
Sementara itu di Australia, kerajaan dilaporkan telah mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah rakyatnya yang dibenarkan pulang dari luar negara, setelah seluruh bandar Melbourne ditutup bagi membendung penularan.
Selain itu, peningkatan dalam inventori minyak mentah AS juga menekan dagangan, dengan merekodkan kenaikan sebanyak 5.7 juta tong pada minggu lepas, tersasar dari jangkaan untuk catat penurunan 3.2 juta tong.