Pentadbiran Trump menyalahkan Iran atas serangan roket yang mensasarkan Kedutaan Amerika Syarikat di Iraq dan memberi amaran untuk bertindak balas sekiranya ada serangan selanjutnya.
“Kedutaan kami di Baghdad telah diserang beberapa roket pada hari Ahad. Tiga roket gagal dilancarkan. Cuba teka dari mana asalnya? : IRAN. Sekarang kami terdengar terdapat perbincangan mengenai serangan tambahan terhadap orang Amerika di Iraq,” tulis Trump dalam tweetnya.
“Beberapa nasihat mesra buat Iran: Sekiranya seorang rakyat Amerika terbunuh, saya mahu Iran bertanggungjawab. Fikirkanlah.” beliau memberi amaran.
Awal hari ini, Politico melaporkan bahawa Washington sedang mempertimbangkan untuk segera menutup kedutaan mereka di Iraq, serta mengisyaratkan bahawa langkah tersebut mewakili tindak balas awal terhadap Tehran.
Pada hari Ahad, lebih 20 roket telah dilancarkan ke perkarangan zon hijau di Bahgdad yang menempatkan Kedutaan AS dan juga beberapa bangunan rasmi yang lain.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau korban rakyat Amerika dilaporkan akibat kejadian tersebut.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menempelak tuduhan Presiden itu dan mengatakan Trump sengaja mahu mengalihkan perhatian dari kegagalannya di AS dengan menuduh Iran mengenai serangan ke atas kedutaannya di Iraq.