Menjelang penerbitan laporan pekerjaan NFP AS yang dinanti-nantikan, komoditi emas kembali mencatatkan sedikit peningkatan pada sesi dagangan hari ini setelah jatuh lebih rendah pada sesi sebelumnya.
Memasuki sesi Eropah, logam berharga itu diniagakan sedikit rendah di sekitar harga $1,934 per auns, sementara niaga hadapan pula didagangkan positif pada $1,940 per auns (3.00 petang waktu Malaysia).
Kenaikan kecil yang diraih emas berlaku ketika USD didagangkan stabil dan kejatuhan dalam pasaran saham yang telah mengangkat permintaan terhadap logam kuning itu menjelang penerbitan laporan NFP.
Rentetan daripada penerbitan beberapa data AS yang kurang memberangsangkan, ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai pemulihan ekonomi adalah lebih perlahan daripada dijangkakan.
Ini menyebabkan terdapat segelintir pelabur mengambil langkah berjaga-jaga menjelang pengeluaran laporan pekerjaan NFP malam ini, dengan meningkatkan pegangan terhadap dagangan emas.
Bagaimanapun, dengan pengukuhan yang diraih oleh US dolar sejak awal minggu, ia telah meletakkan dagangan logam berharga itu di landasan untuk penurunan mingguan. Setakat minggu ini, emas telah mencatatkan kemerosotan sebanyak 1.5%.