Keputusan mesyuarat FOMC pada awal pagi ini gagal memaparkan reaksi harga dalam pasaran khususnya bagi matawang US dolar.
Federal Reserve (Fed) seperti yang dijangka telah mengekalkan kadar faedah di paras 1.75% untuk mesyuarat dasar pertama tahun ini selepas 3 kali penurunan kadar dilaksanakan tahun lalu.
Fed meningkatkan kadar faedah ke atas rizab lebihan sebanyak 5 mata asas disifatkan sebagai pelarasan kecil sementara Pengerusi Fed Jerome Powell menyatakan kebimbangan berkenaan ancaman Coronavirus ke atas ekonomi global.
Justeru itu, dapat diperhatikan pergerakan harga pada carta pasangan matawang USD/JPY kembali membuat penurunan selepas menguji zon SBR (support become resistance) 109.250 susulan keputusan mesyuarat FOMC.
Harga kemabli membuat penurunan lebih rendah semula di bawah garisan sokongan Moving Average 50 (MA50) ke paras 109.000.
Menyambung dagangan pada awal sesi Asia hari ini, harga meneruskan penurunan lebih rendah menuju ke zon support 108.800.
Harga menunjukkan kenaikan yang lemah pada lewat sesi Asia setelah penurunan pada awalnya turut didorong oleh sentimen berisiko pasaran yang memberi kelebihan terhadap safe-haven Yen.
Jika harga berjaya membuat penurunan melepasi support 108.800, harga bakal menuju ke paras support seterusnya sekitar 108.500 untuk mencatatkan paras terendah terbaru 3 minggu pada carta USD/JPY.
Sekiranya harga berjaya membuat kenaikan semula, zon SBR 109.250 akan kembali diuji sebelum harga meneruskan kenaikan ke paras lebih tinggi.
Pasaran akan menantikan bacaan data pertumbuhan GDP Amerika Syarikat untuk suku keempat 2019 yang akan diterbitkan pada sesi New York malam ini yang bakal memacu arah pergerakan bagi US dolar.
Lihat gambar carta pasangan matawang USD/JPY di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.