Pada Januari lalu, negara kuasa besar China telah didakwa sebagai pusat penyebaran wabak COVID-19 yang dikatakan berpunca daripada sebuah pasar di wilayah Wuhan. Tidak lama kemudian, wabak merbahaya itu semakin merebak ke seluruh dunia hingga ke hari ini. Gara-gara penularan virus tersebut, terdapat lebih 1.4 juta penduduk dunia telah dijangkiti dan mencatatkan angka kematian lebih 81,000 di seluruh dunia.
Ketika kebanyakan negara masih bergelut dalam memerangi wabak pembunuh ini, China telah mengisytiharkan bahawa negara itu telah pun pulih serta bebas daripada virus berjangkit itu. Wuhan, yang merupakan wilayah paling terjejas kini didakwa telah sembuh sepenuhnya setelah menjalani perintah berkurung selama 76 hari.
Walau bagaimanapun, negara berkenaan tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali. Uniknya, pihak kerajaan China telah mengambil inisiatif dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit bagi mengesan individu yang sihat begitu juga dengan individu berisiko. Penggunaan perisian tambahan pada 2 aplikasi telefon bimbit yang cukup popular di sana, iaitu WeChat dan AliPay dapat memberikan panduan kepada semua rakyat China berkenaan tahap kesihatan mereka dengan kod warna QR yang dipaparkan.
Warna hijau membolehkan anda bebas ke mana sahaja serta dibenarkan masuk untuk kesemua tempat seperti tempat kerja, sekatan jalan raya, hotel dan restoran. Manakala warna jingga atau merah memberi petanda bahawa individu tersebut berisiko tinggi serta dihalang untuk masuk ke mana-mana tempat malah diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.
Tambahan daripada itu, kod warna tersebut juga boleh bertukar mengikut situasi semasa. Jika anda berada berdekatan dengan individu yang berisiko, kod anda boleh bertukar menjadi jingga atau merah. Oleh itu, anda mestilah mengkuarantinkan diri selama 14 hari.
Melalui inisiatif ini juga, pihak kerajaan China mampu mengesan sesiapa yang telah dijangkiti dengan wabak berkenaan melalui akses pangkalan data termasuk sejarah perjalanan, kesihatan atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang telah dijangkiti.
Pada peringkat awal, aplikasi tersebut mula diperkenalkan di bandar Hangzhou lalu diikuti oleh beberapa buah bandar yang lain. Berdasarkan data yang dikeluarkan, sebanyak lebih 200 bandar telah mengunapakai aplikasi unik ini sejak 25 Februari.
Oleh yang demikian, jumlah pengguna WeChat telah meningkat dengan 1.16 bilion manakala AliPay mempunyai 900 juta pengguna pada awal tahun ini.