Lebih 150 buah negara di seluruh dunia termasuk Malaysia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada tahun ini, menurut jangkaan beberapa organisasi dunia seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan sudah melakukan segala yang termampu bagi memastikan ekonomi negara dapat berkembang semula selaras dengan pemulihan ekonomi serantau dan global ekoran impak pandemik Covid-19 sebelum ini.
Ujar Tengku Zafrul, negara tidak boleh ‘cepat selesa’ dengan keadaan semasa dan perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
Jelas beliau, pemulihan ekonomi negara bergantung kepada pemulihan ekonomi global dan salah satu langkah awal adalah membayar obligasi kewangan negara.
Tambahnya lagi, negara memerlukan masa untuk mengatur semula kewangan pada tahap yang lebih stabil.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan pihaknya telah menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat sebanyak 5.3% pada Mei berbanding 5% pada April.
Bagaimanapun, data Laporan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) menunjukkan sehingga 2 Jun lalu, kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu.