Harga emas melambung tinggi ketika permulaan awal minggu berikutan kemerosotan US dolar ke paras terendah tiga minggu yang diangkat oleh harapan terhadap kesepakatan dalam rundingan pakej bantuan rangsangan AS.
Memasuki sesi Eropah, emas diniagakan tinggi di sekitar harga $1,925 per auns susut sedikit dari paras harga $1,933 per auns yang dicapainya pada pembukaan sesi Asia. Niaga hadapan emas pula positif pada $1,931 per auns (3.00 petang waktu Malaysia).
Keyakinan pasaran masih terletak kepada rundingan rangsangan AS walaupun timbul ketidakpastian sama ada kedua-dua pihak akan mencapai kesepakatan selepas Presiden Donald Trump mencadangkan pakej bantuan bernilai $1.8 trilion.
Walaupun ia hampir dengan nilai yang ditawarkan Demokrat, iaitu $2.2 trilion, namun Senat Republik enggan bersetuju kerana tidak mahu menambah hutang negara dan bimbang bahawa ia mungkin boleh mempengaruhi undi mereka pada pilihan raya presiden pada bulan depan.
Bukan itu sahaja, malah, cadangan Trump juga ditentang oleh Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi yang tekad menginginkan pakej rangsangan yang lebih besar.
Di samping itu, kebimbangan terhadap peningkatan kes coronavirus juga makin meningkat setelah Perancis merekodkan kenaikan harian tertinggi pada Sabtu iaitu kira-kira 27,000 kes. Sementara UK pula dilaporkan akan mengumumkan langkah sekatan baru untuk membendung penularan yang semakin membimbangkan.