US dolar kembali meningkat dari paras terendah empat minggu setelah penurunan dalam pasaran ekuiti AS meningkatkan permintaan terhadap matawang safe-haven berikutan lonjakan kes baru jangkitan Covid-19 dan ketidakpastian dalam isu politik AS.
Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat mengenai rekod kewangan Presiden Donald Trump sedikit sebanyak membimbangkan para pelabur menjelang pilihan raya presiden yang diadakan pada November ini.
Pada Khamis, Mahkamah Agung telah menolak tuntutan ‘kekebalan’ dari Trump dan memberi kebenaran kepada pendakwa raya New York untuk memeriksa rekod kewangan beliau.
Presiden itu sebelum ini telah didakwa tidak menetapkan penyata cukainya menjadi umum seperti pendahulunya. Malah, beliau juga menuntut kekebalannya sebagai Presiden daripada Mahkamah untuk merahsiakan penyata cukai dan rekod kewangannya yang lain.
Sementara itu dalam perkembangan coronavirus, lebih 60,000 kes baru di Amerika Syarikat telah dilaporkan pada Rabu, sementara angka kematian pula meningkat lebih 900 untuk hari kedua berturut-turut.
Kebimbangan terhadap kenaikan berterusan ini telah membantu untuk mengangkat permintaan US dolar sebagai safe-haven.
Euro jatuh daripada paras ketinggian satu bulan berbanding US dolar, sementara matawang komoditi juga mencatatkan penyusutan.
Situasi Covid-19 di AS semakin tidak terkawal dan pasaran pekerjaan adalah petunjuk utama kepada betapa lambatnya pemulihan yang diharapkan untuk berlaku.
Tuntutan pengangguran pada minggu lepas terus menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan walaupun kenaikannya melebihi jangkaan pasaran. Peningkatan berterusan kes Covid-19 menyebabkan majikan tidak agresif untuk mencari pekerja kerana bimbang sekatan akan dilaksanakan semula.
Pakar kesihatan AS, Dr Anthony Fauci menasihatkan kepada beberapa negeri yang masih mencatatkan peningkatan yang tinggi untuk mempertimbangkan penutupan semula bagi membendung penularan.