White House dan Kongres Amerika Syarikat terus berada dalam kekacauan mengenai rancangan pakej rangsangan $1 trilion yang masih di peringkat perbincangan dengan Demokrat.
Walaupun rang undang-undang itu telah dipersetujui oleh White House dan Kongres, namun Presiden Donald Trump mengatakan bahawa terdapat beberapa aspek dalam pakej rangsangan tersebut yang tidak disukai beliau. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.
Dalam pada itu, Pemimpin Majoriti Senat Republikan Mitch McConnell menentang rancangan tambahan dalam pakej itu, termasuk peruntukan untuk membiayai bangunan baru FBI yang dilihat tidak mempunyai kaitan langsung dengan bantuan coronavirus.
Tekanan untuk mencapai kesepakatan bertambah memandangkan bantuan faedah pengangguran (pakej rangsangan peringkat awal) yang diagihkan $600 setiap minggu akan berakhir pada Jumaat ini.
Sehingga kini, masih tidak jelas sama ada Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin akan mencapai perjanjian dengan para pemimpin Demokrat sebelum hari Jumaat ini.
Rundingan pada Selasa berakhir dengan tangan kosong apabila Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi dan Pemimpin Senat Demokratik, Chuck Schumer memberitahu wartawan bahawa mereka masih mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan.
Kedua-dua pihak sebelum ini bertelagah mengenai keperluan pembayaran faedah pengangguran, kerana menurut Republikan, bayaran ini telah mendorong rakyat Amerika untuk tinggal di rumah daripada kembali bekerja.
Sebaliknya, mereka mencadangkan untuk membayar hanya $200 setiap minggu, namun ditentang oleh Demokrat kerana ia dilihat tidak mencukupi dan ia boleh merosakkan ekonomi.