Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terus mengemukakan ugutan terhadap China gara-gara isu wabak pandemik, COVID-19. Konflik antara 2 buah negara itu kelihatan semakin tegang apabila Trump bertindak mahu memutuskan hubungannya dengan China bahkan tidak mahu berbincang dengan pemimpin negara itu, Xi Jinping.
Bukan itu sahaja! Trump juga sanggup menggunakan kuasa vetonya bagi memutuskan hubungan dengan pertubuhan yang bertanggungjawab dalam menangani wabak berjangkit itu.
Untuk pengetahuan semua, kedua-dua buah negara kuasa besar ini telah berhadapan dengan krisis dan berada dalam situasi tegang sejak Disember tahun lalu. Hal ini demikian kerana Trump terus menunding jari ke arah China, yang didakwa menjadi punca kepada penularan wabak COVID-19.
Menurut Trump, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin negara China, Xi Jinping. Namun, beliau terlalu kecewa dengan tindakan negara tersebut dan memutuskan untuk tidak mengadakan apa-apa perbincangan bersama.
Tambahan daripada itu, presiden Amerika Syarikat itu berkata beliau mampu untuk melakukan banyak perkara terhadap negara tersebut sebagai balas dendam. Jika hubungan antara 2 buah negara itu diputuskan, Amerika Syarikat dapat menjimatkan kos mereka hingga $500 bilion dolar.
Kemarahan Trump terhadap China semakin memuncak apabila terdapat aktiviti penggodaman berkaitan kajian vaksin dilakukan oleh penggodam yang didakwa mempunyai kaitan dengan kerajaan negara tersebut.