Bank Pusat Eropah (ECB) dan presidennya Christine Lagarde sekali lagi berdepan dengan minggu yang mencabar untuk tidak mengecewakan pasaran, di mana bank pusat itu dijangka akan mengekalkan pendiriannya terhadap dasar monetari semasa pada mesyuarat polisi kali ini.
Pada mesyuarat polisi terakhir pada awal Jun, ECB telah meningkatkan lagi pembelian bon dan aset lain di bawah Program Pembelian Kecemasan Pandemik (PEPP) sehingga menjadi €1.35 trilion dan melanjutkan tempoh program sehingga akhir tahun 2022.
Sejak daripada itu, prospek ekonomi zon Eropah telah menjadi lebih baik daripada anggaran awal ketika krisis pandemik Covid-19 bermula.
Ini dapat dilihat apabila beberapa siri data ekonomi Eropah secara beransur-ansur kembali memaparkan pertumbuhan setelah kebanyakan aktiviti perniagaan dibuka semula pada Mei lalu.
Hal ini telah mendorong beberapa pembuat dasar, termasuk Pengarah Eksekutif ECB, Isabel Schnabel dan Gabenor bank pusat Belanda, Klaas Knot berpandangan bahawa ECB mungkin tidak perlu menghabiskan keseluruhan kos yang diperuntukkan untuk PEPP.
Malah, jika para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan pelan dana pemulihan Eropah yang bernilai € 750 bilion dalam perbincangan minggu ini, mungkin ia adalah keputusan tepat sekiranya ECB tidak melaksanakan apa-apa langkah rangsangan tambahan lagi.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat beberapa negara anggota EU yang menentang pelan tersebut. Christine Lagarde juga menyatakan pandangannya mengenai kesepakatan itu yang mungkin tidak dapat dicapai pada tahun ini dan ekonomi masih jauh daripada pemulihan sepenuhnya.