Ternyata Norwegian Government Pension Fund, turut dikenali sebagai Oil Fund memiliki aset berjumlah lebih daripada $1 trilion termasuk 1.4% daripada stok dan saham global, menjadikan organisasi tersebut memiliki dana terbesar dunia.
Lebih menarik, laporan Arcane Research menyatakan dana itu turut memiliki 577.6 Bitcoin (BTC) melalui pelaburannya ke atas firma MicroStrategy dengan pemilikan saham sebanyak 1.51%.
Kini, portfolio syarikat itu dalam BTC bernilai sekitar $6.3 juta.
Baru-baru ini pengasas MicroStrategy, Michael Saylor menerusi kicauan Twitter memberitahu syarikatnya kini memiliki 38, 250 BTC.
Selain daripada Oil Fund, dua syarikat penasihat pelaburan utama, BlackRock Fund Advisors memiliki 15.24% pegangan (5829.30 BTC) dan Vanguard Group pula memiliki pegangan sebanyak 11.72% (4482.90 BTC).
Ini bermakna, BlackRock merupakan pemegang saham terbesar di MicroStrategy dan secara tidak langsung memegang BTC.
Untuk pengetahuan, Vanguard Group merupakan penasihat pelaburan Amerika dengan jumlah aset global di bawah pengurusan (AUM) bernilai sekitar $6.2 trilion sehingga 31 Januari 2020. Manakala, BlackRock memiliki $7.3 trilion di AUM.
MicroStrategy mula mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu susulan daripada keputusan mereka untuk melabur di dalam Bitcoin. Firma itu telah membeli 21,454 BTC pada harga $250 juta pada Ogos dan pada bulan berikutnya, 16,796 BTC telah dibeli pada nilai $175.