Dagangan minyak mentah terus mencatatkan peningkatan selepas mencecah paras ketinggian 3 bulan berikutan kebimbangan terhadap permintaan yang mulai reda susulan jumlah penambahan kes akibat coronavirus semakin perlahan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 0.4% kepada $59.34 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula meningkat sebanyak 0.5% kepada $53.77 setong.
Mengikuti laporan terbaru, Suruhanjaya Kesihatan Negara China melaporkan angka kes terbaru disahkan pada 19 Februari adalah sebanyak 394 kes manakala bilangan kematian pula bertambah seramai 114 orang.
Ini menjadikan jumlah semasa kematian meningkat kepada 2,118 dan kes jangkitan yang disahkan pula berjumlah 74,576.
Selain itu, isu gangguan bekalan turut menyokong dagangan komoditi hitam hari ini ekoran konflik di Libya yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda keredaan sehingga mengakibatkan berlaku sekatan pelabuhan dan medan minyak di negara itu.
Kebimbangan terhadap bekalan minyak global juga tercetus oleh tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ke atas Venezuela dengan menyenarai hitamkan anak syarikat minyak Rusia, Rosneft.
Sementara itu, tindakan The People’s Bank of China (PBOC) yang mengurangkan kadar faedah untuk mengimbangi impak ekonomi akibat coronavirus juga menyokong dagangan minyak mentah hari ini.
Bagi dagangan logam berharga pula, emas terus diniagakan mengukuh di sekitar paras $1,609.00 selepas mencecah paras ketinggian 7 tahun.
Walaupun bilangan kes kematian mula menunjukkan penurunan dan beberapa langkah rangsangan telah diambil oleh China, namun masih terdapat kebimbangan di kalangan pelabur untuk mendapatkan aset safe-haven seperti emas bagi menghadapi sebarang kemungkinan.