Oman didakwa telah memulakan program vaksinasi coronavirus hari ini, iaitu 2 hari lebih awal dari rancangan untuk menyambung semula semua penerbangan dan membuka sempadan yang ditutup buat sementara waktu ketika tercetus kebimbangan mengenai strain baru Coronavirus.
Untuk pengetahuan semua, negara berkenaan telah mencatatkan jumlah kematian kedua Covid-19 tertinggi di Teluk setelah Arab Saudi . Selain itu, negara berkenaan adalah yang terakhir dari Negara Kerjasama Teluk (GCC) yang memulakan program vaksinasi.
Seperti kebanyakan negara, mereka turut memilih vaksin Pfizer-BioNTech.
Menurut Menteri Kesihatan Ahmed Al-Saidi, salah seorang rakyat mereka adalah yang pertama menerima suntikan vaksin di klinik Muscat. Sementara itu, keutamaan vaksin akan diberikan kepada pekerja kesihatan barisan hadapan dan warga emas.
Untuk pengetahuan semua, Oman setakat ini telah mencatatkan lebih dari 128,000 kes jangkitan coronavirus, termasuk 1,495 angka kematian.
Selain itu, kebanyakan negara Teluk juga telah menangguhkan perjalanan komersial dan melarang masuk dan keluar melalui sempadan darat dan laut minggu lalu setelah munculnya virus baru di Britain.
Walau bagaimanapun,Arab Saudi masih belum mengumumkan apakah akan melonggarkan sekatan tersebut minggu ini, sementara Kuwait mengatakan ia merancang untuk dibuka semula pada 1 Januari.
Sementara itu, Dana Kewangan Antarabangsa menganggarkan bahawa ekonomi Oman menguncup sebanyak 10% tahun ini.