Emas diperdagangkan meningkat ketika kenaikan dalam pasaran ekuiti global mula mereda dan hasil perbendaharaan AS pula susut menjelang mesyuarat polisi FOMC.
Memasuki sesi pasaran Eropah, logam berharga itu diniagakan di sekitar paras harga $1,717 per auns, sementara niaga hadapan pula menokok 0.25% kepada $1,726.15 per auns selepas mencatat lonjakan sebanyak 1.2% pada sesi sebelumnya.
Saham Asia menyusut ketika kebanyakan ekuiti AS mencatat peningkatan, di mana ia turut mendorong hasil perbendaharaan AS untuk menurun kepada tahap lebih rendah.
Pelabur terus mengambil langkah berhati-hati sementara menantikan keputusan Federal Reserve (Fed) AS, dan kenyataan susulan daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell.
Turut menjadi perhatian pelabur adalah penerbitan unjuran pertumbuhan ekonomi yang akan diterbitkan buat pertama kali sejak wabak coronavirus menyebabkan kemelesetan di negara itu pada Februari.
Segelintir pelabur juga optimis dengan jangkaan bahawa keputusan Fed mungkin turut disertai dengan langkah rangsangan lebih lanjut untuk membantu pemulihan ekonomi Amerika Syarikat.
Sementara itu, terdapat juga jangkaan bahawa Fed akan menggunakan kawalan keluk hasil (YCC), iaitu menetapkan sasaran hasil jangka panjang, seperti mana yang dilaksanakan oleh Reserve Bank of Australia (RBA) yang menetapkan sasaran pada 0.25% dan Bank of Japan (BOJ) di sekitar 0%.
Ini adalah bagi memastikan kos pinjaman tetap rendah untuk Fed terus melaksanakan program pembelian bon dalam usaha untuk merangsang ekonomi AS.