Harga minyak mentah jatuh ke paras terendah lima bulan pada pembukaan dagangan awal November, memanjangkan kerugian yang dicatatkan minggu lalu disebabkan kekhuatiran terhadap permintaan global yang mungkin terjejas akibat perlaksanaan sekatan baru.
Negara-negara di seluruh Eropah telah mengenakan semula langkah sekatan lebih ketat dalam usaha untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di benua itu sejak bulan lalu.
Terbaru, pada hujung minggu, Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan penutupan di seluruh negara buat kali kedua setelah UK terus menyaksikan peningkatan dalam kes Covid-19 setiap hari dan angka kematian pula dijangka akan meningkat pada musim sejuk.
Niaga hadapan minyak mentah Brent bagi bulan Januari didagangkan rendah pada $36.32 setong, manakala WI Amerika Syarikat pula terus lemah pada $34.17 setong setelah jatuh pada $33.64 setong ketika permulaan sesi Asia.
Kebimbangan terhadap kelemahan permintaan global dan peningkatan bekalan telah menyebabkan harga minyak jatuh untuk bulan kedua berturut-turut pada Oktober, dengan minyak AS menjunam 11% dan Brent pula sebanyak 8.5%.
Sentimen bagi dagangan komoditi hitam juga dilemahkan oleh peningkatan bekalan daripada ahli OPEC iaitu Libya dan Iraq, telah mengimbangi pemotongan pengeluaran oleh anggota lain dan menyebabkan pengeluaran kumpulan itu meningkat untuk bulan keempat pada Oktober.