Menurut Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire, negara itu akan segera meminta bantuan Kesatuan Eropah sekiranya Washington tetap akan meneruskan sekatan perdagangan pada Januari yang didorong oleh penguatkuasaan cukai Perancis terhadap perkhidmatan digital.
Sebelum ini, Pentadbiran Trump telah mengumumkan pada bulan Julai berkenaan duti tambahan sebanyak 25% terhadap kosmetik, beg tangan dan import lain Perancis bernilai $ 1.3 bilion sebagai tindak balas terhadap cukai perkhidmatan digital Perancis, tetapi mengatakan akan menangguhkan pelaksanaan langkah itu hingga Januari.
Manakala Perancis bertindak untuk menangguhkan pemungutan cukai perkhidmatan digitalnya hingga bulan depan sementara rundingan antarabangsa sedang dijalankan untuk merangka semula peraturan percukaian rentas sempadan untuk era digital.
Di samping itu, terdapat hampir 140 negara yang terlibat dalam rundingan tersebut bersetuju untuk terus berunding hingga pertengahan 2021 setelah perbincangan terhenti ketika Washington enggan menandatangani perjanjian multilateral menjelang pilihan raya presiden AS.
Namun, Perancis telah mengatur langkah dengan mengemukakan pemberitahuan kepada syarikat-syarikat untuk membayar ansuran cukai pada bulan Disember. Berdasarkan pungutan tersebut, Perancis didakwa dapat mengumpulkan 400 juta euro tahun ini.
Sementara itu, negara berkenaan juga berjanji untuk menarik semula penguatkuasaan cukai Perancis sebaik sahaja perjanjian antarabangsa dicapai.
Oleh itu, mererka ingin melihat apakah tindakan yang akan diambil oleh pentadbiran Biden berkaitan isu tersebut dan membuka jalan untuk kesepakatan antarabangsa.