Saham Top Glove Corp Bhd dan Supermax Corp Bhd merupakan antara yang mencatat keuntungan dalam sesi dagangan pagi ini.
Pada pukul 10.43 pagi, saham Top Glove meningkat sebanyak 44 sen kepada RM27.58 selepas turun ke paras terendah kepada RM26.70 hari ini.
Saham Supermax pula melonjak sebanyak 32 sen atau 1.53% kepada RM21.26 selepas merosot ke paras terendah hari ini kepada RM20.60.
Para pelabur menunggu harga terbaik bagi saham pengeluar sarung tangan getah selepas harga saham mereka menurun susulan ramalan penganalisis berhubung pelaksanaan cukai durian runtuh ke atas sektor pengeluaran sarung getah dan perkembangan penemuan vaksin Covid-19.
Menurut penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Anand Pathmakanthan, harga saham dari awal tahun hingga hari ini mencatatkan peningkatan yang tinggi berikutan permintaan sarung tangan getah dan purata harga jualan meningkat.
Dalam pada itu, saham syarikat pengeluar sarung tangan getah lain seperti Kossan Rubber Industries Bhd dan Hartalega Holdings Bhd mencatatkan kerugian ketika sesi dagangan pagi ini.