Gara-gara isu baru mengenai krisis coronavirus dan Brexit, matawang pound telah memadamkan semua keuntungan yang diraih pada bulan ini.
Sejak pembukaan dagangan awal minggu hari ini, pasangan matawang GBP/USD telah mencatatkan kejatuhan ketara sekitar 260 pips susulan laporan penemuan strain baharu coronavirus di UK sehingga mendorong penutupan sebahagian besar di negara itu.
Sistem pengangkutan antarabangsa turut terkesan selepas beberapa negara mula mengambil tindakan menutup sempadan menghentikan penerbangan dari UK untuk membendung penularan virus yang dikatakan lebih cepat itu.
Perdana Menteri Boris Johnson akan mempengerusikan mesyuarat kecemasan pada hari ini, untuk berbincang mengenai perjalanan antarabangsa dan aliran barang masuk dan keluar Britain sebagai tindak balas kepada penemuan baru tersebut.
Menambahkan lagi kebimbangan buat para pelabur adalah perkembangan baru mengenai rundingan Brexit yang mungkin akan mendorong Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian perdagangan pada 1 Januari 2021.
UK menegaskan pada hari Ahad bahawa EU perlu berkompromi untuk membuka jalan kepada perjanjian perdagangan pasca-Brexit, dan setakat ini masih tiada tanda-tanda kesepakatan akan dapat dicapai.
Sementara itu, euro turut mencatatkan kerugian disebabkan kebangkitan semula US dolar, ketika para pelabur beralih kepada safe-haven berikutan perlaksanaan sekatan yang lebih ketat.
Persetujuan yang dicapai dalam pakej rangsangan coronavirus AS membantu menyokong euro untuk mencatatkan sedikit peningkatan pada awal sesi Eropah, namun matawang itu kembali susut.