Nampaknya, isu politik di Malaysia semakin hangat dan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan rakyat. Dan semestinya isu terbaru ini bakal mengejutkan semua bahkan dikatakan pertama kali dalam sejarah!
Menurut Datuk Pengelola Bijaya, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, seramai 222 Ahli Parlimen akan ditemuduga oleh Yang di-Pertuan Agong. Prosedur berkenaan bakal dijalankan berikutan dengan perletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Oleh yang demikian, semua Ahli Parlimen akan dijemput untuk sesi temuduga peribadi seorang demi seorang dengan Raja. Selain itu, sesi tersebut dikatakan mudah dan akan berlangsung selama 2 hingga 3 minit serta dijalankan oleh Baginda sendiri manakala Ketua Setiausaha Kerajaan akan bertindak sebagai saksi.
Sehubungan dengan itu, seramai 90 orang pertama akan ditemuduga di Istana Negara pada jam 2:30 petang hari ini dan tidak akan dipisahkan mengikut parti masing-masing.
Di samping itu, semua Ahli Parlimen dikhabarkan telah menerima makluman berkenaan isu ini pada semalam. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Yang di-Pertuan Agong mahu menjalankan prosedur berkenaan untuk menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang spekulasi.
Seterusnya, beliau menegaskan bahawa Baginda akan menentukan peranan Perdana Menteri berdasarkan calon-calon yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen yang memiliki perintah majoriti di Dewan Rakyat.
Tindakan tersebut diambil selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, berdasarkan Artikel 43(2).