Sentimen pasaran kembali memaparkan sedikit pemulihan disokong oleh kenyataan oleh beberapa bank pusat utama yang memberi petunjuk mengenai kemungkinan untuk melaksanakan langkah rangsangan bagi melindungi ekonomi yang terkesan akibat coronavirus.
Matawang pound kembali jatuh ke bawah paras 1.28 berbanding US dolar selepas Bank of England (BoE) menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mengambil langkah yang diperlukan untuk melindungi kestabilan kewangan dan monetari.
Gabenor BoE Mark Carney pada minggu lalu, telah menyatakan kebimbangannya mengenai wabak coronavirus, namun memberitahu bahawa ia masih terlalu awal untuk menentukan kesannya kepada ekonomi UK.
US dolar kembali menyusut selepas diniagakan meningkat berbanding safe-haven yen pada sesi Asia, ditekan oleh laporan mengenai kematian kedua yang disahkan akibat jangkitan coronavirus di Amerika Syarikat.
Federal Reserve AS pada Jumaat lalu telah memberi petunjuk mengenai kemungkinan pemotongan kadar faedah, di mana Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata bank pusat akan mengambil tindakan yang bersesuaian untuk menyokong ekonomi.
Kenyataan ini kemudiannya disusuli oleh Bank of Japan (BOJ) yang juga menyatakan akan menyediakan liquidity yang mencukupi dan memastikan kestabilan dalam pasaran kewangan menerusi operasi pasaran dan pembelian aset yang sesuai.
Jangkaan mengenai pemotongan kadar faedah oleh beberapa bank pusat utama juga telah membantu meningkatkan selera pelabur ke atas matawang berisiko, seperti dolar Aussie dan kiwi.
Dolar Aussie terus memperlihatkan peningkatan sejak sesi Asia, meskipun data PMI Caixin menunjukkan kejatuhan ketara dalam aktiviti perkilangan di China pada Februari.
Mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) yang akan berlangsung pagi esok dijangka akan menyaksikan pemotongan kadar faedah oleh bank pusat.