Sehari selepas menandatangani perjanjian dengan China, Presiden A.S Donald Trump meraih kemenangan kedua untuk agenda perdagangannya setelah Senat meluluskan perjanjian dagang antara Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada (USMCA).
Sementara perbicaraan pemecatannya akan dimulakan pada hari ini, Senat telah meluluskan perjanjian USMCA dengan undian 89-10. Trump dijangka akan menandatangani perjanjian tersebut secepatnya minggu depan.
Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell menyifatkan perjanjian tersebut sebagai kemenangan terbesar buat pentadbiran Trump.
Trump sebelum ini menyalahkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang menjejaskan berjuta-juta pekerjaan dari sektor pembuatan kerana ia menggalakkan kilang-kilang berpindah ke selatan sempadan A.S yang telah memanfaatkan pekerja berpendapatan rendah di Mexico.
Setiausaha Perbendaharaan A.S Steven Mnuchin semalam memberitahu bahawa perjanjian dagang dengan China dan USMCA akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Tumpuan Senat A.S kini beralih kepada perbicaraan pemecatan Trump yang telah pun dimulakan secara rasmi pada Khamis.
Ahli Demokrat, Adam Schiff yang mengetuai tujuh lagi wakil dari Dewan Perwakilan dan berperanan sebagai pendakwa, telah membacakan dua tuduhan yang mendakwa Trump telah menyalahgunakan kuasanya sebagai presiden dan menghalang Kongres.
Bagaimanapun, Senat dijangka membebaskan Trump dari tuduhan tersebut memandangkan setakat ini tiada suara yang menyokong pemecatan beliau dari ahli Republik iaitu pemegang majoriti dalam Senat.
Bagi meluluskan pemecatan Trump, 2/3 undian majoriti diperlukan oleh Senat.