Seoul, Korea Selatan menerima khabar duka apabila salah seorang pegawai marin wilayah itu telah dibunuh secara brutal oleh pihak tentera Korea Utara.
Menurut kenyataan dari Kementerian Pertahanan Korea Selatan, pegawai yang berusia 47 tahun itu dilaporkan hilang pada Isnin lalu ketika membuat rondaan laut kira-kira 10 km dari sempadan Korea Utara, berdekatan dengan kepulauan Yeonpyeong.
Mangsa kemudiannya dijumpai oleh pasukan tentera Korea Utara di lautan sebelum disoal siasat. Seorang pegawai senior Korea Utara akhirnya mengeluarkan arahan bunuh.
Pegawai Korea Selatan itu ditembak mati, disimbah bahan api ke seluruh badan dan dibakar.
Korea Selatan meminta wilayah milik Kim Jong-un penjelasan sebenar. Mereka juga mendesak supaya mereka yang bertanggungjawab dengan kematian itu dikenakan hukuman yang setimpal.
Memandangkan talian perhubungan ketenteraan antara Korea Utara – Korea Selatan dan pejabat perhubungan antara Korea dihapuskan oleh Korea Utara, laporan yang diterima agak terbatas.
Laporan yang diterima Seoul sebenarnya bergantung kepada siasatan yang menyeluruh dengan sumber yang pelbagai.
Insiden tersebut merupakan tragedi kedua selepas seorang pelancong dari Korea Selatan yang telah dibunuh oleh tentera Korea Utara pada Julai 2008.
Kejadian ini juga telah melemahkan pasaran Asia dengan kebanyakan saham didagangkan lebih rendah.
Nikkei 225 susut 1.16% manakala Kospi Composite turun 2.61% pada waktu yang sama. Di China, Shanghai Composite susut 1.37% dan Shenzhen Composite susut 1.98%. Hong Kong pula, Hang Seng susut 1.99% dan S&P/ASX 200 Australia susut 0.90%.