Dagangan logam berharga emas terus memanjangkan penurunannya ketika memasuki sesi pasaran Eropah, dengan matawang USD terus menguat berbanding kebanyakan matawang utama.
Spot emas didagangkan susut ke bawah paras harga $2,000, iaitu pada $1,990 per auns, manakala niaga hadapan emas pula merosot di sekitar $1,994 per auns.
Pengukuhan dolar greenback telah diangkat oleh harapan terhadap pakej rangsangan lanjut oleh Amerika Syarikat, yang mana pegawai tertinggi Republik dan Demokrat dijangka akan mengadakan rundingan semula setelah menemui kegagalan pada minggu lalu.
US dolar, yang juga berperanan sebagai aset safe-haven, terutamanya ketika ketegangan antara dua ekonomi gergasi dunia semakin memburuk telah meraih peningkatan lebih tinggi berbanding matawang utama pada minggu ini.
Dalam perkembangan terbaru, China telah mengenakan sekatan terhadap pegawai-pegawai AS, termasuk Senator Republikan Ted Cruz dan Marco Rubio berkuat kuasa pada Isnin sebagai membalas tindakan Washington yang menjatuhkan sekatan ke atas 11 pegawai Hong Kong dan China yang dituduh menyekat kebebasan wilayah itu.
Walau bagaimanapun, menurut penganalisis dagangan komoditi emas ini tetap meraih sokongan oleh pelabur yang berwaspada ketika kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan di beberapa negara.