Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corp Bhd hanya memerlukan 52 sen sahaja lagi untuk mengatasi permodalan pasaran Malayan Banking Bhd (Maybank) sebagai syarikat terbesar di Bursa Malaysia.
Semalam, saham Top Glove mencatatkan rekod penutupan paling tinggi di paras RM9.48 manakala harga saham Maybank berada pada paras RM7.24.
Pertambahan sebanyak 50 sen akan meningkatkan pasaran modal Top Glove sebanyak RM4.23 bilion, sekali gus menjadikan permodalan pasarannya kepada RM77.59 bilion.
Harga saham Maybank menyusut sejak dua tahun lalu selepas mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak RM10.88 pada Mei 2018.
Saham Maybank semalam ditutup pada RM7.24 selepas merekodkan penyusutan sebanyak 11 sen, menjadikan pasaran modalnya bernilai RM81.39 bilion.
Dalam perkembangan lain, salah sebuah syarikat pengeluar sarung getah, Hartalega Holdings Bhd berjaya menduduki tangga ketiga dalam Bursa Malaysia, mengatasi Public Bank yang kini berada di tempat keempat.
Berdasarkan harga sahamnya yang ditutup pada RM18.16 ketika sesi dagangan semalam, nilai pasaran Hartalega kini mencecah RM62.25 bilion manakala nilai pasaran Public Bank adalah sebanyak RM61.88 bilion.
Dua lagi syarikat pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corp Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd, masing-masing menduduki tangga ke-30 tertinggi dalam Bursa Malaysia.
Supermax kini menduduki tangga ke-18 dengan nilai pasarannya sebanyak RM27.33 bilion manakala Kossan berada di tempat ke-23 apabila merekodkan nilai pasarannya sebanyak RM20.41 bilion.
Menurut penganalisis Maybank IB Research, Wong Chew Hann dalam laporannya bertarikh 9 Oktober lalu, Supermax dan Kossan berkemungkinan disenaraikan dalam FBM KLCI ketika tinjauan seterusnya sekiranya kedua-dua syarikat itu kekal pada kedudukan tersebut.