Dr Scott Gottlieb, bekas pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Dadah di bawah kendalian Trump, mendesak White House untuk menguatkuasakan protokol kesihatan yang lebih ketat setelah Presiden Donald Trump disahkan positif Covid-19. Menurut beliau, White House perlu mengambil pendekatan yang berbeza. Sebelum ini, mereka tidak mengambil langkah percegahan yang ketat bahkan gagal melindungi presiden Amerika Syarikat itu.
Selain itu, beliau mendedahkan bahawa ujian Covid-19 yang dijalankan oleh White House mempunyai kelemahan. Oleh yang demikian, mereka perlu menggunakan ujian pengesanan yang lebih efektif bagi memeriksa para kakitangan dan pelawat.
Lebih malang lagi, presiden berkenaan didakwa tidak mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai topeng muka bahkan mengadakan kempen yang dihadiri ramai serta tidak mempraktikkan penjarakan sosial. Sebagai contoh, pada bulan Ogos, Trump telah mengadakan ucapan dasar Konvensyen Nasional Republikan di South House of the White House, dengan dihadiri lebih daripada 1,000 tetamu undangan dan tidak memakai topeng muka. Di samping itu, presiden tersebut juga baru-baru ini mencalonkan Hakim Amy Coney Barrett ke Mahkamah Agung dalam sebuah majlis di White House, dan beberapa individu yang berada di situ telah disahkan positif coronavirus.
Sehubungan dengan itu, White House perlu memikirkan semula langkah pencegahan yang sewajarnya kerana wabak itu berterusan. Bahkan sebelum ini pakar perubatan telah mengemukakan amaran bahawa negara tersebut mungkin memasuki fasa paling berbahaya gara-gara Covid-19.
Walau bagaimanapun, White House tidak mahu mengemukakan apa-apa maklum balas terhadap isu berkenaan.