Pengangguran UK terus meningkat dalam tiga bulan hingga Oktober dan jumlah pengurangan pekerja mencapai tahap tertinggi di tengah-tengah ancaman terbaru dari sekatan lebih ketat dilaksanakan di London.
Pejabat Statistik Negara (ONS) melaporkan kadar pengangguran UK meningkat kepada 4.9% daripada bacaan yang direkodkan sebelum ini pada 4.8%. Ini adalah bacaan tertinggi pernah direkodkan sejak Ogos 2016.
Jumlah pengurangan pekerja merekodkan tahap tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 370,000 orang dalam tempoh tiga bulan hingga Oktober ketika syarikat-syarikat bersedia menjelang berakhirnya program subsidi pekerjaaan oleh kerajaan pada bulan Oktober.
Namun begitu, skim subsidi gaji tersebut kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga akhir Mac 2021 berikutan kebangkitan semula kes jangkitan coronavirus di negara itu.
Angka-angka besar yang direkodkan ini nyata membuktikan kritikan terhadap Menteri Kewangan UK, Rishi Sunak yang dikatakan lambat bertindak ketika beliau memperluaskan program untuk menyokong pekerjaan dan perniagaan yang dilanda krisis Covid-19.
Hal ini kerana, banyak syarikat telah mengambil keputusan untuk mengurangkan pekerjaan dalam tempoh itu.
Matawang pound sedikit berubah susulan penerbitan data yang mengecewakan itu selain turut dihimpit kebimbangan terhadap sekatan lebih ketat akan dilaksanakan di London dengan tumpuan pelabur terarah pada perkembangan rundingan perdagangan Brexit.