Dolar Kanada mula memaparkan kenaikan berbanding dolar greenback ketika tumpuan pasaran kini terarah kepada mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) pada malam ini.
Matawang itu sebelum ini mencatatkan sedikit penyusutan susulan peningkatan US dolar di tengah-tengah ketidaktentuan sentimen pasaran yang bercampur-campur.
Dari sudut positif, optimisme terhadap pelancaran pakej bantuan Covid-19 terus menyokong sentimen pasaran, lebih-lebih lagi selepas Pentadbiran Trump mencadangkan satu lagi langkah rangsangan bernilai $916 bilion.
Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan buat masa ini adalah, dengan lebih banyak langkah rangsangan dicadangkan, ini akan membuatkan situasi bertambah rumit untuk Kongres AS membuat keputusan disebabkan perbezaan pendapat.
Tidak seperti Bank Pusat Eropah (ECB) yang dijangkakan secara meluas akan melonggarkan polisi monetarinya, tiada tindakan yang diramalkan akan diambil oleh BOC.
Pada pertemuan bulan Oktober, bank pusat telah mengekalkan dasar monetari tidak berubah dan mengunjurkan penguncupan pada tahun ini adalah lebih kecil daripada jangkaan sebelumnya. Namun, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2021 dijangka akan lebih lemah.
Walaupun terdapat kebimbangan terhadap ekonomi disebabkan kebangkitan semula kes dan sekatan coronavirus di seluruh negara, namun setelah melihat data ekonomi Kanada yang baik dan syarikat terus menambah pekerjaan, bank pusat mungkin akan mengekalkan polisi semasanya.