Ketegangan di Timur Tengah terus menjadi isu hangat yang berlegar dalam pasaran memasuki minggu kedua dagangan tahun 2020.
Kecoh pada Jumaat lalu apabila Amerika Syarikat bertanggungjawab melancarkan serangan di lapangan terbang Baghdad. Turut terbunuh individu penting, Jeneral Qasem Soleimani yang mendorong Iran tekad untuk membalas dendam.
Dengan kedua-dua negara saling berbalas amaran, sentimen pasaran dijangka kekal berisiko sehingga isu tersebut kembali reda.
Sentimen berisiko mendorong permintaan terhadap dagangan safe-haven Yen terutama matawang Yen Jepun.
Dapat dilihat pergerakan harga pada carta pasangan matawang USD/JPY mencatatkan paras terendah terbaru 3 bulan melepasi support 107.900 yang diuji pada November lalu.
Harga yang memulakan dagangan pada awal sesi Asia pagi ini dengan menyaksikan terdapat jarak (gap) pada pembukaan harga lebih rendah kemudiannya menunjukkan kenaikan semula ke paras 108.100.
Harga yang masih bergerak di bawah garisan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam pergerakan harga pada USD/JPY, memberi isyarat bahawa trend masih bearish.
Dengan sentimen yang kekal berisiko, harga berkemungkinan meneruskan penurunan ke paras lebih rendah menuju paras tumpuan sekitar 107.000. Harga dilihat akan menguji paras tersebut yang berada pada zon RBS (resistance become support) sebelum ini.
Sekiranya jika kenaikan harga berlaku, harga akan kembali menguji semula paras-paras tumpuan sebelum ini seperti di paras 108.200 dan seterusnya di 108.500.
Harga yang bergerak lebih tinggi dari halangan dinamik MA50 bakal memberikan isyarat perubahan trend.
Lihat gambar carta pasangan matawang USD/JPY di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.